Tuesday, May 31, 2011

seindah mawar berduri...

Seindah Mawar BerduriHasil Karya: FATIMAH SYARHA MOHD NOORDIN
Disenarai Pada: 25 September, 2005
Khazinatul Asrar…khazanah kerahsiaan.
Seorang gadis yang menyimpan rahsia kesucian hati yang takut dan cinta pada Ilahi di sebalik tabir aurat yang menghijab diri. Dia menjadi siulan ramai lelaki namun falsafah cinta yang dipegangnya menyebabkan dirinya tidak mudah untuk dimiliki. Dia tetap teguh dengan falsafahnya biarpun didatangi dugaan cinta silih berganti.
Khazinatul Asrar mendapat keistimewaan itu kerana rahsia falsafah cintanya pada Ilahi. Cinta yang kudus dan  suci.Kehebatan falsafah cintanya itu menyebabkan banyak kumbang yang akur tewas. Mereka tak terdaya menempuhi ranjau dan duri sepanjang perjalanan untuk menyunting mawar idaman. Apakah sebenarnya falsafah cinta Khazinatul Asrar?
Adakah cintanya semata-mata untuk Ilahi lalu meminggirkan lelaki?
Kenapakah ramai kumbang yang tercabar untuk memiliki si mawar yang sedang mekar di Taman Larangan itu? dan banyak lagi persoalan yang perlu diterokai….
Akhirnya muncullah si jejaka pilihan Allah S.W.T buat si mawar berduri, menyingkap seribu satu rahsia kesucian hati di sebalaik tabir cinta Khazinatul Asrar. Bagaimana Khazinatul Asrar akhirnya dimiliki?
Siapakah sang kumbang itu yang berjaya mencari penawar bisa duri wardah?
Yang pasti, novel ini menghidangkan kebenaran janji Allah yang termaktub dalam surah An-Nur, "Wanita yang toyyibaat itu untuk lelaki yang toyyibuun…"
Sucinya cintamu Khazinatul Asrar, seindah mawar berduri…
FATIMAH SYARHA MOHD NOORDIN
Bingkisan tinta ini kutujukan istimewa buat mereka yang mencari kejernihan redho Ilahi dalam percintaan…
Buatmu… pencari cinta sejati, cinta yang abadi….
Terimalah….
Seindah Mawar Berduri…
Sila rujuk kebawah untuk membaca keseluruhan cerpen

Paparan video sempena setahun ACHEH TSUNAMI:
Sila tekan butang ditengah untuk memainkan video

S E.I N D A H M A W A R B E R D U R I
"Khazinatul asrar , kau pencuri!" Khazinatul Asrar tergamam melihat sekeping nota kecil berwarna biru lembut yang terselit di dalam buku Usul Fiqh nya. Seribu persoalan bertandang di benak fikiran.
"Apa yang aku curi?" bisiknya sendiri penuh kehairanan.
Matanya liar memerhati sekeliling dewan kuliah, manalah tahu kalau–kalau ada mata yang sedang melihat reaksinya tatkala dia menatap nota itu…mata yang mungkin sedang nakal melihatnya dirinya diperlakukan begitu. Namun tiada seorang pun daripada rakan sekuliahnya yang menunjukkan reaksi yang mencurigakan. Masing–masing sibuk dengan kerja sendiri.
"Biarkanlah..!!" hatinya berbisik lagi . Dia tidak mahu menyerabutkan fikirannya untuk berfikir soal nota kecil itu yang dirasakan suatu gurauan semata–mata.Lengan jubahnya ditarik sedikit untuk melihat jam di tangannya. Sudah pukul 8.50 pagi! 10 minit lagi kelas Usul Fiqh akan bermula. Sekejap saja lagi Dr.Maisarah yang sering mengawali waktu akan masuk untuk memulakan sessi kuliyahnya. Tepat seperti apa yang disangka, derapan laju tapak kasut seorang wanita 40-an itu memang cukup dikenalinya. Masuklah doktor falsafah dalam bidang Pengajian Islam itu. Tatkala itu juga, barulah Khaznatul Asrar sedar bahawa kerusi di sebelahnya masih kosong.
"Mana Hijriah?" getus hatinya. Pandangannya terbuang keluar pintu dewan untuk mencari–cari kelibat rakan sebilik, sekamsis dan sekuliahnya itu kalau-kalau dia terlewat datang. Hampa. "Mungkin dia kurang sihat…kasihan dia tak dapat mengikuti kuliah hari nie. Tapi…betulkah dia sakit? kalau demam sikit–sikit tu, dia tak mungkin tinggalkan kelas. Hijriah bukan begitu orangnya…" hatinya berbicara sendiri. Sedikit rasa bimbang datang bertamu.
"Hijriah tak datang hari ni? Err , boleh saya duduk sini?"
Lamunan Khazinatul Asrar terhenti oleh sapaan Tsabit yang tiba–tiba datang melabuhkan punggung di sebelahnya tanpa diundang. Khazinatul Asrar hanya mampu berdiam diri, jiwanya beristighfar panjang kerana tidak selesa didampingi oleh seorang lelaki ajnabi. Apatah lagi lelaki itu memang sejak dulu lagi sering untuk cuba untuk mendekatinya tetapi tidak pernah dilayan. Pelajar–pelajar Fakulti Pengajian Islam, UKM terus memfokuskan perhatian kepada Dr.Maisarah sebaik sahaja kelas bermula.
"Kenapa sorang jea hari nie? Mana Hijriah?" tersembul pertanyaan itu dari mulut Tsabit sedangkan Dr.Maisarah sedang lantang memberikan kuliahnya. Seolah–olah dia ingin memulakan perbualan. Konsentrasi Khazinatul Asrar terganggu seketika.
Bibirnya digetap. Geram. Astargfirullah…
"Maafkan saya, saudara. Kita di dewan kuliah sekarang nie!" Khazinatul Asrar bernada agak tegas tanpa menjeling sedikitpun kepada Tsabit apatah lagi untuk menoleh. Dia tidak mahu membuka ruang kepada Tsabit yang sering mencari peluang.
Pandangannya tetap setia tertumpu pada Dr.Maisarah namun pertanyaan Tsabit itu membuat fikirannya melayang memikirkan Hijriah yang tidak datang ke kuliah. Persoalan–persoalan yang berlegar di mindanya ditambah pula dengan ketidakselesaan didampingi Tsabit menyebabkan dia tewas untuk memberikan sepenuh perhatian kepada syarahan Dr.Maisarah.
Dalam sedar mahupun tidak, fikirannya melayang entah kemana. Wajah Hijriah berlegar–legar disudut ingatan.
Masakan tidak, Hijriah bersiap–siap seperti biasa pagi tadi. Ceria seperti hari–hari biasa. Langsung tiada tanda-tanda yang menunjukkan dia sakit. Tak mungkin tiba–tiba sahaja dia jatuh sakit. Apa yang telah terjadi kepadanya?
Terbit pula kesalan dihatinya kerana tidak pergi ke dewan kuliah bersama–sama Hijriah. Bukan apa, Hijriah suka datang lambat sedangkan Khazinatul Asrar lebih gemar datang awal ke dewan kuliah agar bolehlah dia mengulangkaji secara ringan sebelum kuliyah bermula.
Tsabit yang menyedari dirinya telah menimbulkan kemarahan Khazinatul Asrar lagi, mula memberikan sepenuh perhatian kepada syarahan Dr.Maisarah. Dia selalu tersilap waktu untuk cuba mendekati gadis pujaannya itu. Lantaran itu, setiap kali cuba mendekati Khazinatul Asrar, dia pasti dimarahi secara lembut tetapi tegas olehnya. Malah, sejak awal perkenalan, dia tidak pernah diberi walau seulas senyuman sekalipun. Namun, Tsabit adalah seorang pemuda yang tidak mengenal erti serik dan jemu.
Sopan santun, kelembutan, keayuan, akhlak dan keperibadian Khazinatul Asrar membakar semangatnya untuk tidak tewas memenangi hati gadis tersebut. Saban waktu, malamnya ditemani mimpi seraut wajah yang bermahkotakan tudung labuh sebagai penghias diri dan dilindungi jubah, sunnah sahabiah. Dia igaukan seorang bidadari yang beridentitikan Muslimah sejati.
‘Tomorrow…please present this topic. ..’" Dr Maisarah mengakhiri sesi kuliyahnya yang telah sejam berlalu.
"Astargfirullahal azhim…apa yang aku dapat hari ni?" spontan Khazinatul Asrar menuturkan kata–kata itu membuatkan Tsabit berpaling kepadanya. "Kenapa Asrar?"
Tsabit memberanikan diri bertanya. Prihatin.
"Err.. nothing!" Khazinatul Asrar cepat–cepat berdalih dan mula menyibukkan diri mengemas buku–buku di hadapannya.
"Saya tahu, awak tak salin apa–apa nota tadi, kan? awak fikirkan sesuatu ye?!" Tsabit cuba menduga. Memang sepanjang kuliah matanya sering menjeling-jelling. Khazinatul
Asrar bingkas bangun dari kerusinya untuk segera mengakhiri perbualan yang tidak diminta itu.
"Maaf, saya nak pulang dulu," getusnya seolah–olah acuh tak acuh dengan pertanyaan Tsabit.
"Ish, sombongnya!" keluh Tsabit.
"Sombong pun sombonglah.. thanks!’" balas Khazinatul Asrar bersahaja. Langkahnya mula diatur. Pantas Tsabit memintasnya.
"Nanti…!" halang Tsabit. Khazinatul Asrar menundukkan pandangannya. Tidak sanggup untuknya menentang renungan mata dari pemuda yang berdarah Melayu- Libya itu. Dia hanya mampu mendengus lemah. Geram bila langkahnya disekat.
Hatinya berzikir.
"Err…Kalau awak sudi, pinjamlah nota saya nie," sambil tangannya menghulurkan sebuah buku nota yang cantik bersampul biru muda.
"Terima-kasih jealah…saya boleh merujuknya semula dengan rakan-rakan perempuan yang lain," balas Khazinatul Asrar. Menolak.
"Kalau macam tue, awak tolonglah pinjamkan nota saya nie untuk Hijriah." Tsabit masih tidak berputus asa. Dia tahu Hijriah sebilik dengan Khazinatul Asrar. Masih ada strategi lain!
"Sekali lagi, terima kasihlah saudara. Hijriah pun boleh merujuk nota lain bersama saya nanti. Lebih baik saudara bawa pulang saja nota saudara nie dan buat revision untuk presentation esok," tegas Khazinatul Asrar.
"Ish, sombong betullah. Tak baik tau! Allah tak suka orang sombong. Baca dalil karang, baru tau…" Tsabit mula geram dengan penolakan demi penolakan.
"Jangan memandai dengan dalil, tengok situasilah. Allah lagi tak suka orang…" kata-kata Khazinatul Asrar cepat–cepat dipotong….
"Awak memang tak sudi dengan nota saya dan macam–macam alasan awak bagi. However, saya amanahkan awak pinjamkannya untuk Hijriah." Tsabit bernada merajuk dan meninggalkan notanya diatas kerusi sambil berlalu pergi. Khazinatul Asrar menggeleng–gelengkan kepalanya. Dia berasa geli hati dengan perbuatan Tsabit yang beria–ria untuk meminjamkan buku notanya. Bagaikan hanya dia seorang sahaja yang menyalin nota Dr.Maisarah. Setelah difikir–fikir, Khazinatul Asrar akhirnya membawa pulang nota Tsabit itu untuk diberikan kepada Hijriah memandangkan perkataan ‘mengamanahkan’ yang Tsabit tuturkan.
Langkahnya disusun kemas untuk pulang ke kamsisnya. Lamunan tentang Hijriah hadir lagi, seolah–olah episodnya bersambung sejak dari dewan kuliah tadi.
Hijriah belum pernah ponteng kuliah seperti hari ini. Sebagai teman sebilik, dia terlalu ingin tahu keadaan Hijriah di saat itu. Sakitkah dia? Khazinatul Asrar mula berasa bersalah terhadap dirinya sendiri yang mungkin terlalu sibuk mengejar waktu hingga agak mengabaikan situasi teman sebiliknya itu sejak kebelakangan ini.
Penglibatannya sebagai salah seorang perwakilan pelajar PMUKM ( Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia ) sudah cukup membuatkan hari–hari yang dilaluinya terlalu padat dan singkat. Tenaga, wang dan waktu lapang banyak dikorbankan untuk perjuangannya di kampus itu. Waktu malamnya pula dihabiskan untuk menyiapkan assignment di Perpustakaan Tun Sri Lanang, perpustakaan terbesar di asia tenggara. Baginya tiada istilah rehat selagi dia tidak mampu menyeimbangkan sebijaksana mungkin masa yang dia ada untuk menunaikan tanggung jawab. Khazinatul Asrar menyedari kebenaran kata–kata As-Syahid Al-Iman Hassan Al-Banna:
"…kewajipan yang perlu kamu lakukan lebih banyak daripada masa yang kamu ada." 
~Sesegar hijau daunan, begitulah kita diibaratkan…tiada siapa yang bisa memisahkan kita…antara kita semua…~
Dari tangga kamsis lagi, lagu favourite Hijriah itu bergema kedengaran. Kuat sekali. Khazinatul Asrar menggeleng–gelengkan kepalanya dan terus menyusun langkah menuju ke biliknya yang terletak di barisan ketiga, level 1. Tidak syak lagi, irama nasyid dendangan In-team itu memang datang dari biliknya. Dia dapat menduga bahawa Hijriah pasti ada di dalam bilik.
"Hijriah. Asrar balik nie!" pintu yang tidak berkunci itu dikuaknya perlahan–lahan. Salamnya tiada jawapan. Didapatinya Hijriah sedang tidur dengan bantal ditelangkupkan diatas kepala. Kipas siling berputar ligat dengan penunjuk mengarah full. Lagaknya bagaikan orang yang ada masalah.
Khazinatul Asrar memperlahankan volume radio kerana bimbang mengganggu penghuni lain. Serentak dengan itu Hijriah terjaga dari lenanya yang mungkin tidur – tidur ayam sahaja.
"Eh, Asrar dah balik rupanya…" Hijriah berkata lembut sambil membetulkan kedudukan bantalnya. Khazinatul Asrar mengukir senyuman. Perlahan–lahan dia menghampiri Hijriah dan duduk di sebelahnya. Tangannya menjamah dahi Hijriah.
"Tak panas pun!" kata Khazinatul Asrar perlahan.
"Sejak bila pula saya demam?" balas Hijriah bersahaja.
" Habis tue kenapa tak datang kuliyah pagi nie?" tanya Khazinatul Asrar pula.
"Err…topik baru ke hari nie?" Hijriah cuba mengalih perbualan.
"Hijriah…saya tanya nie!" Khazinatul Asrar tidak mahu Hijriah menyembunyikan sesuatu. "Kenapa nie?" Khazinatul Asrar memujuk lembut.
"Tak ada apa–apa…betul!" Hijriah masih membuat aksi selamba.
"Habis tue, pagi tadi awak bersiap–siap bukan untuk ke kuliyah?"
Khazinatul Asrar masih tidak berpuas hati dengan jawapan Hijriah.
"Saya ke Mini Market. Beli Coklat Dairy Milk 10 packs untuk hilangkan tension," jelas Hijriah berterus–terang.
"Kalau tak percaya, tengok dalam basket tu. Penuh plastik coklat, kan?!" Hijrah menguatkan kenyataannya.
"Hilangkan tension dengan coklat??? Hijrah yang saya kenali biasanya menatap Al- Quran bila ada masalah," getus Khazinatul Asrar masih curiga.
"Saya tak ada apa-apa. Percayalah Asrar! Saya Cuma tension sikit saja pagi tadi…sekarang dah okey," sambil bibirnya mengukir senyuman hambar.
"Kenapa tension sampai ponteng kuliyah?" Khazinatul Asrar terus bertanya. Hijriah terdiam.
"Ada masalah ye?! Kongsilah…" pujuk Khazinatul Asrar lagi.
"Tak ada lah…. mungkin nak period kot sebab tulah rasa tension," Hijriah terus berdalih.
" Period? Bukankah baru seminggu lepas…." Khazinatul Asrar mencelah. Mematahkan alasan yang mungkin sengaja direka–reka.
"Hijriah, kalau ada masalah, saya sentiasa bersama awak. Saya sentiasa sedia mendengar apa saja. Janganlah macam ni…" Khazinatul Asrar masih tidak jemu memujuk sahabatnya.
Raut wajah Hijriah jelas menyembunyikan sesuatu. Dia tetap enggan menceritakannya kepada Khazinatul Asrar. Tidak seperti selalu. Dia sebenarnya seorang yang ceria dan berterus – terang. Namun, tidak untuk kali ini….
"Alah Asrar nie…lupakanlah perkara tue. Lain kali, saya janji tak ponteng kuliyah lagi," Hijriah seolah – olah mula bosan dengan desakan Khazinatul Asrar.
"Betul tak ada apa- apa ni?" Khazinatul Asrar cuba menduga lagi.
"Awak dah tak percaya saya lagi ke?" kata Hijriah seakan merajuk.
"Okey,okey.. kali nie awak boleh sembunyikan sesuatu dari saya, tapi esok–esok tidak lagi, tau!"
"Oh, ya! Nie nota Tsabit tentang topik hari ni. Awal pagi esok ada presentation,"
sambil nota bersampul biru itu diserahkan kepada Hijriah. Mata Hijriah sedikit terbeliak. Tangannya pantas menyambut dan membelek – belek buku nota tersebut.
"Tsabit suruh berikan kepada saya?" tanya Hijriah minta kepastian.
"Emm…" Khazinatul Asrar menjawab ringkas. Malas diceritakan kembali peristiwa tadi. Pemuda itu sering membuatkannya geram hinggakan dia terasa malas menyebut nama itu berulang kali.
"Kenapa tiba–tiba saja Tsabit boleh teringatkan saya? Pelik ni!" Hijriah bertanya sambil tangannya terus membelek–belek nota itu.
"Dia sukakan awak kot…." Khazinatul Asrar cuba mengusik, sengaja mahu melihat reaksi temannya. Tiada respon marah. Sebaliknya Hijriah mula tersenyum – senyum sendiri.
"Ish, lain pula jadinya…" Bisik hati kecil Khazinatul Asrar.
"Asrar, dia tak cakap apa-apa tentang saya?" Hijriah nampak semakin berminat bertanyakan Tsabit. Khazinatul Asrar menarik nafas. Dia mula mencari alasan untuk menyegerakan dirinya bebas dari bercakap pasal Tsabit.
"Tengah – tengah hari nie, saya nak tidur qoilulah dulu lah. Lepas zohor nanti, saya ada usrah. Petang ni pula ada meeting. Lain kali sajalah kita cakap pasal dia!"
badannya terus direbahkan ke katil sambil mata dipejamkan. Sengaja diceritakan aktiviti–aktivitinya pada hari itu untuk menagih simpati Hijriah agar mengizinkannya berehat. Hijriah mencebik bibir sambil fikirannya menerawang jauh. Entah ke mana.
Wajahnya kembali berserabut kerana memikirkan sesuatu.

(((((((((((((((((((((((((())))))))))))))))))))))))))))))

Syaqiera, Yusra, Sayyidah, Roziana, Juliea, Nur Fatihah dan Nik An-Najah sudah sedia menanti Khazinatul Asrar di Kafetaria Alumni. Mereka sering datang lebih awal untuk memberi penghormatan kepada kakak Naqibah kesayangan mereka, merangkap salah seorang perwakilan pelajar yang dihormati dan disegani. Halaqoh usrah yang diadakan setiap minggu itu sering mereka nanti–nantikan kerana eratnya simpulan ukhuwwah yang terjalin sesama mereka.
Seperti biasa, majlis itu dibuka dengan Ummul Kitab dan tafsiran beberapa potong ayat suci Al –Quran sebelum memulakan silibus usrah.
"Lihat surah Al –Maidah(5) ayat 41," arah Khazinatul Asrar. Semuanya mula membelek tafsir Quran masing – masing.
"Biar saya bacakan…" Yusro menawarkan diri tanpa perlu diminta.
"dan saya bacakan tafsirnya…" Sayyidah tidak mahu terkecuali. Khazinatul Asrar tersenyum lembut sambil mengangguk. Lalu, beralunlah suara merdu mereka.
"Baiklah, dalam ayat yang dibacakan tadi, Kak Asrar nak highlightkan firman Allah yang bermaksud : ‘barangsiapa yang Allah kehendaki kesesatannya, maka kamu tidak akan sesekali dapat menolak sesuatu pun (yang datang )dari Allah. Mereka itu adalah orang–orang yang Allah tidak mahu menyucikan hati mereka. Mereka beroleh kehinaan di dunia dan akhirat kelak mereka beroleh azab yang pedih.’ Sodaqallahul Azhim.
Tafsir ayat ini menjelaskan jika seseorang sudah terbiasa mendengar kebatilan dan menerimanya, ia kan menghijab dirinya dari kebenaran. Hatinya dibiarkan angguk pada kesesatan. Dia menerima kebatilan dah tentu dia sebenarnya menyukainya.
Akibatnya, ketika kebenaran datang tanpa memenuhi seleranya dia menolak dan mendustakannya.
Why not? Hatinya dah gelap dan tak nampak lagi cahaya Allah.
Sebagai alasan, Allah biarkannya terus dalam kesesatan dengan tidak memancarkan hidayah-Nya ke hati–hati mereka. Contohnya, apa yang dilakukan oleh kelompok Jahmiyah terhadap ayat–ayat dan hadis–hadis yang berkenaan dengan asma’ dan sifat. Mereka menolak ayat-ayat dan hadis-hadis itu dengan ta’wil mereka sendiri.
Ikut selera mereka. Jesteru, Allah biarkan mereka dalam kesesatan kerana azab akhirat yang menanti itu sesungguhnya lebih pedih lagi.
Kita sepatutnya sentiasa menyucikan hati kita kerana hati adalah raja yang memerintah seluruh amalan. Jangan biarkan ianya dinodai oleh titik hitam. Apatah lagi membiarkan ada kebatilan yang masih bersarang disitu, walaupun sedikit.
Sentiasalah beristighfar dan zikir qolbi untuk menyucikannya kerana manusia sering membuat kesilapan." hurai Khazinatul Asrar.
"That means, mereka di dalam ayat itu bukan dikhususkan kepada satu kaum tertentu jea, kita pun boleh masuk sekali, kak Asrar, kan?" soal Yusro yang agak aktif orangnya. Minta kepastian.
"Betul tu. Kalau dilihat tafsir ayat secara keseluruhan, mereka difokuskan kepada orang – orang Yahudi yang mengubah kitab Taurat dan mendustakan ayat–ayat Allah.
Namun orang Islam sekalipun yang tahu tentang kebenaran tetapi tidak beramal dengannya sebaliknya memilih kebatilan sebagai cara hidup samalah sikapnya dengan orang–orang Yahudi laknatullah. Hatinya akan berselaput dengan noda hitam kerana sudah sebati melakukan kesilapan hingga akhirnya sukar untuk menerima kebenaran yang dia imani sebelumnya.
Sementara itu, orang yang membiasakan keadaan hatinya lalai daripada cahaya Allah S.W.T mungkin akan dihukum oleh Allah S.W.T untuk terus lalai dan jauh dari–Nya, sebagaimana ingatan Allah dalam Al-A’raf (17): ayat 179 yang bermaksud :
"dan janganlah kamu termasuk di antara orang yang lalai…’
Rasulullah S.A.W pula pernah berwasiat, baginda bersabda :

‘Janganlah kalian lalai maka kalian akan melupakan rahmat.’
Kalau ada di lintasan di hati kita untuk berhijrah dari jiwa yang lalai kepada
jiwa yang cintakan Allah S.W.T. maka bersegeralah untuk melakukannya kerana percayalah bahawa itu adalah lintasan benar dari Allah S.W.T. Lintasan itu merupakan hidayah yang takkan datang selalu. Jarang–jarang jea. Biasanya ianya akan disertai keyakinan yang kuat. Namun, kalau kita sering bertangguh, mungkin Allah S.W.T akan tarik balik hidayah–Nya itu. Taufiq dari–Nya bukan milik semua orang. Bukan milik orang yang tak bersedia," jelas Khazinatul Asrar lagi.
"Kak Asrar, adakah bercinta kerana Allah itu melalaikan?" Nur Fatihah mencetus persoalan. Khazinatul Asrar tersenyum. Topik cinta sering menjadi masalah utama adik–adik usrahnya selama dia bergelar Naqibah.
"Apa pendapat Syaqiera?" Khazinatul Asrar memberi peluang untuk mengemukakan pandangan.
"Iera rasa ianya tak melalaikan! Bagi Iera , itulah cinta sejati. Cinta kerana Allah biasanya diiringi wawasan untuk hidup bersama dan lahirkan zuriat yang soleh,"
jawab Syaqiera, petah.
"Juliea pula bagaimana?" Khazinatul Asrar bertanya lagi.
" Juliea pun setuju dengan Iera! Apa sahaja perbuatan yang dibuat ikhlas kerana Allah, mesti benda tue baik," yakin jawapannya. "Tapi Kak Asrar…
Ziana confuse tentang cinta tu…" Roziana mencelah. "Confuse? Boleh kongsi?"
Khazinatul Asrar bernada lembut. "Ziana tak malu nak berkongsi pengalaman Ziana.
Ziana dicintai oleh seorang lelaki yang soleh orangnya. Dia betul–betul nak jadikan Ziana teman hidupnya selepas tamat belajar nanti. Bagi Ziana, cinta kami kerana Allah. Tapi…setelah dua tahun menjalinkan hubungan cinta, Ziana rasa hati Ziana semakin jauh daripada mengingati Allah. Kalau dulu hati ini sering berzikir, tapi kini sering ingat namanya sahaja. Rasa macam hati ini kotor. Hari – hari kami saling call.
Lebih parah lagi bila hati ni sering memujuk untuk berjumpa dengannya selalu," luah Roziana.
"Kenapa cinta yang dijalin kerana Allah pun melalaikan?" keluhnya lagi.
"Najah rasa, cinta memang melalaikan, cinta kerana Allah tu hanyalah nama hiasan untuk menafikan kelalaian cinta," Nik An-Najah bersuara tegas.
Syaqiera mengkeriukkan dahi. Tidak tenang dengan kenyataan setegas itu.
"Okey, Kak Asrar nak tanya, apakah ciri–ciri cinta yang adik–adik anggap adalah cinta kerana Allah?" Khazinatul Asrar cuba membuka minda.
"Ianya adalah bercinta untuk berkahwin dan lahirkan anak–anak yang dididik dengan cara hidup Islam, baitul Muslim" jawab Syaqiera spontan.
"Itu natijah cinta kerana Allah. Kak Asrar bertanyakan ciri- ciri cinta kerana Allah.
Ciri-ciri yang akak maksudkan itu adalah cara bercinta itu sendiri yang dikatakan kerana Allah," Khazinatul Asrar makin membuka minda mereka.
"Apa pendapat Kak Asrar tentang itu?" Sayyidah minta kepastian.
"Kadang–kadang manusia tersalah menganggap cintanya kerana Allah padahal percintaannya menyebabkan makhluk Allah lebih diagungkan daripada Pencipta makhluk itu sendiri. Allah diketepikan. Mungkin matlamatnya dah betul dan jelas, tapi jalannya tak syaro’. Itulah yang disedihkan.
Dalam Islam ada beberapa perkara yang perlu disegerakan. Pertama, apabila solat telah masuk waktunya. Kedua, apabila jenazah hendak dikebumikan. Dan ketiga, apabila anak gadis telah bertemu calon suaminya. Kalau dilambatkan, buruk padahnya. Kita boleh buat satu conclusion, salah satu ciri – ciri cinta kerana Allah ialah apabila pasangan segera dijodohkan. Kuranglah maksiat hati yang sering dilakukan ketika percintaan."
"Tapi, takkan nak kahwin masa tengah belajar lagi ni?" getus Yusro
"Kalau dah tak tahan apa salahnya…tapi, kalau rasa masih tak sedia, baik jangan berani untuk bercinta lagi," nasihat Khazinatul Asrar.
"Kalau dah terjebak macam Ziana ni?" gerutu Roziana.
" Ziana, jatuh cinta tak salah. Perasaan tu anugerah Allah. Tapi kalau Ziana rasa ianya boleh melalaikan tentu ada perbuatan-perbuatan yang salah, yang Allah tak redhai. Muhasabah balik. Sentiasalah berdoa pada Allah agar memelihara perasaan cinta tu sebagaimana yang Dia kehendaki, yang tak menjauhkan Ziana dari–Nya. Allah Maha Penyayang," jelas Khazinatul Asrar.
"Praktikalnya?" Roziana mahu lebih jelas.
"Kikislah keaiban–keaiban cinta seperti hari–hari bergayut di telefon, bermujahadah untuk buang nama si dia dalam solat dan sebagainya… Buatlah secara perlahan–lahan dan penuh kerelaan kerana takut dan cintakan Allah. Kak Asrar faham, Ziana perlukan masa untuk merubah situasi sedia ada. Bukan secara mendadak. Tak apalah…selagi ada kemahuan di situ ada jalan. Yakin dengan Allah," senyum berputik di bibir.
Kemudian barulah Khazinatul Asrar masuk pada silibus usrah. Dia gembira dengan amanah sebagai Naqibah lantaran menyedari taklifan itu pernah terpikul di bahu Junjungan Besar Nabi Muhammad S.A.W yang tercetus dirumah Al-Arqam bin Abi Al–Arqam. Dia tidak mahu terasing daripada golongan orang–orang yang sanggup meneruskan kesinambungan wasilah tarbiyyah Rasulullah.
" Kau mencurinya dari aku. Pencuri!!!!
Nota misteri berwarna biru lembut hadir lagi dan kali ini dalam failnya pula. Ketika itu malam masih muda. Khazinatul Asrar sedang sibuk menyiapkan assigment dalam perpustakaan. Berjilid–jilid kitab Tahdib At–Tahzib berselerak di depannya. Dia menjadi bingung dan cuba mengingat–ingat apa yang telah dia lakukan hingga digelar pencuri. Fikirannya buntu.
"Berani kerana benar! Apa yang perlu aku takutkan…mungkin ada orang yang sengaja ingin mengganggu ketenangan hidup aku. Biarlah dia…nanti bila dia rasa penat buat kerja tak berfaedah nie, tahulah dia berhenti. Moga Allah memberi hidayah padanya," hatinya memujuk sendiri. Dia pun meneruskan kerja–kerja yang masih banyak.
"…" tiba-tiba dia disapa lembut. Dia menjawab salam dari suara yang amat dikenali itu sambil wajahnya diangkat sedikit.
"Sibuk nampak….awak ni kan tak kenal penat ke? Setiap malam bertungkus-lumus siapkan assignment, siang pulak…mesyuarat sini, usrah situ, program sini, tamrin situ.
Susah nak nampak batang hidung. Malam-malam macam ni, saya dah agak, awak memang ada kat sini," leter Hijriah sambil mula mengambil tempat di depan Khazinatul Asrar. Khazinatul Asrar terus juga khusyuk dengan tugasnya.
"Saya tak kira, malam ni saya nak kacau juga awak…" celotehnya lagi.
"Asrar, awak sedar tak saya datang ni?" getus Hijriah tatkala menyedari sahabatnya hanya acuh tak acuh sahaja dengan kedatangannya. Mulutnya ditarik muncung.
Khazinatul Asrar meletakkan pen yang sejak daripada tadi rancak menari di atas helaian-helaian kertas A4.
"Yea...saya sedar, Hijriah sayang! Mimpi apa cari saya kat sini? Sebelum ni bukan main liat lagi bila saya ajak ke sini," sindir Khazinatul Asrar, bergurau.
"Tak adalah…actually, saya tengah gembira ni. Tak sabar-sabar lagi saya nak kongsi dengan awak," luah Hijriah penuh ceria. Senyumannya semakin melebar menyerlahkan susunan giginya yang cantik tersusun.
"Betul? Ish, ish, comelnya kawan saya ni bila tengah riang. Okey, ceritalah… boleh saya tumpang gembira sekali," balas Khazinatul Asrar penuh exited. Seronok melihat wajah temannya yang ceria.
"Lihat ni!" Hijriah menunjukkan buku nota berwarna biru lembut yang tertera tajuk, ‘Clinical psychology’ . Khazinatul Asrar mencapai buku itu. Rupa-rupanya buku itu kepunyaan Tsabit apabila dia mendapati nama pemuda itu tertulis di ruang dalam buku tersebut.
"Kenapa awak riang sangat dengan buku ni?" Tanya Khazinatul Asrar kehairanan.
"Saya cakap kat Tsabit, nota saya untuk subjek ni tak lengkap. Terus ditawarkan notanya pada saya. Dah agak dah semua tu…Then, waktu dia nak serahkan buku dia pada saya tadi, saya cakaplah saya belum dinner lagi, lapar sangat separuh gastric. Saya pujuk dia supaya temankan saya makan. Dia begitu baik sekali," Hijriah bersuara riang. Wajahnya memang penuh ceria. "
Kenapa awak tidak meminjamnya sahaja daripada saya?" duga Khazinatul Asrar kurang senang dengan gelagat temannya itu.
"Alah…bukan saya perlukan sangat nota tentang subjek yang menjadi favourite semua orang ni. Saya sengaja cari peluang ni untuk mengenali hati budi Tsabit. Best lah dia, Asrar," terang Hijriah.
"Astaargfirullahal azhim. Hijriah…kalau inilah niat awak, malam ni jugak awak perlu pulangkan nota nie," sambil nota biru itu diletakkan di hadapan Hijriah. "Hari ni bertukar-tukar buku nota dan makan-makan. Esok…mungkin keluar berdua-duaan pula untuk merapatkan hubungan. Semua ni tak lain, jarum syaitan untuk menghampiri khalwat dan zina," nada Khazinatul Asrar agak tegas dan emosi. Nafasnya ditarik panjang melepaskan kebimbangannya terhadap anak tunggal seorang Dato’ dari Kajang itu. Air muka Hijriah yang tadinya riang mula berubah mendung.

Khazinatul Asrar mulai sedar bahawa dia perlu berhati-hati dan berhikmah apabila menasihati Hijriah kerana Hijriah berjiwa sensitive dengan masalah melibatkan lelaki. Nalurinya terlalu cenderung untuk disayangi dan menyayangi seorang lelaki. Itulah ujian Allah yang diuji kepada setiap jiwa remaja sebenarnya. Apatah lagi, dia ketandusan kasih lelaki bergelar ayah sejak kecil lagi. Ayahnya lebih mementingkan materialistik daripada menghargai erti sebuah kasih sayang. Bagi ayahnya, memberi kemewahan sama seperti memberikan kasih sayang. Khazinatul Asrar menyedari bahawa Hijriah tersinggung.
"Maafkan saya kalau saya terlalu berkasar," Khazinatul Asrar cuba memujuk kembali…
"Bukannya apa, saya sayangkan awak Hijriah. Hijriah…sebagai siswi di Fakulti Pengajian Islam nie, keindahan nilai akhlak wanitanya perlu lebih terpelihara kerana kita diasuh dengan acuan agama." Khazinatul Asrar memegang erat tangan Hijriah dan mula mengatur kata-katanya lagi, kali ini lebih lembut… "Malah setiap wanita muslimah sebenarnya tak kiralah aliran agama atau tidak, wajib memelihara akhlaknya. Hijriah, awak harus malu untuk buat begitu. Malulah menjadi hias pakaian kita sebagai muslimah" nasihat Khazinatul Asrar dengan ikhlas.
"Malu? Kenapa perlu malu? Saya bukan pemalu!" Hijriah menafikan.
"Malu memang ada tempatnya. Kita mesti menjadi pemalu untuk melakukan perkara yang tak Allah redhai sebab kita ni hanya bertaraf hamba Allah je kat muka bumi milik Allah ni. Sifat malu inilah yang akan meninggikan martabat kita sebagai wanita.
Lambang sesuatu yang mahal dan berharga, bukan sebarangan. Tentu awak masih ingat satu hadis Rasulullah S.A.W:
"Pakaian kita ketaqwaan, hiasan kita malu dan hasil kita adalah ilmu."
Hijriah cuma membisu. Khazinatul Asrar menyambung lagi.
"Allah ciptakan wanita dengan segala sifat kelembutan, keindahan dan kasih sayang.
Lantaran itu, tidak hairankah wanita sering dikaitkan dengan keindahan sekuntum bunga. Hijrah…jadilah bunga mawar yang indah………………………………………
……………………………………………….Rasulullah bekerja tu. Dia ada kuasa arahkan apa sahaja pada pekerja-pekerjanya.
Namun, beliau merisik peribadi Rasulullah dan meminang Baginda melalui seorang hamba lelakinya bernama Maisarah. Bayangkanlah betapa terpujinya sifat malu seorang manager besar, tokoh wanita korporat terbilang pada zaman itu yang mempelopori syarikat perdagangan peringkat antarabangsa. Tidak hairanlah kualiti akhlak Sayyidatina Khadijah turut manambat hati manusia yang paling agung di sisi Allah biar pun Sayyidatina Khadijah dah pun berstatus janda 40 tahun."
"Tapi Asrar.. saya dah mula mencintai Tsabit. Saya tak mahu kehilangan Tsabit.Saya dah banyak kali kehilangan…cukuplah!" terkedu Khazinatul Asrar mendengar pengakuan sahabatnya. Mudahnya dia melafazkan cinta. Baru sebulan yang lepas Hijriah memberi tahu Khazinatul Asrar bahawa dia jatuh cinta pada seorang pelajar Medic di kampus KL. Kini, cintanya sepantas kilat beralih kepada Tsabit pula. Apalah erti cinta sebegini…cinta manusia yang sementara dan berubah-ubah. Sesuatu yang tidak pasti.
"Asrar…salahkah saya?" getus Hijriah lagi.
"Hijriah…bercinta tu tak salah," nafasnya ditarik panjang dan dia menyambung lagi,
"Tapi, memuja cinta itu yang salah! Kalau nak bercinta biarlah syara’…di atas landasan Allah! Kerana cinta sering melalaikan manusia dari mengingati Allah hingga kesempurnaan ibadat terganggu. Yang lebih parah lagi, kerana cintalah manusia mula melupakan batasan-batasan pergaulan yang telah Allah gariskan. Cinta juga membuka peluang baru kepada fitnah syaitan dan mengundang murka Allah. Manusia sendirilah yang mencemari cinta yang fitrahnya kudus dan suci."
"Alah… Saya Cuma meminjam notanya dan makan-makan sikit. Tak lebih daripada itu.
Tak pegang-pegang pun!" Hijriah mencelah agak kasar. Hatinya diselubungi kebencian.
"Hijriah, saya cuma memberi peringatan sebelum tersasar. Peringatan ini semata-mata kerana saya sayangkan awak, bukankah setiap yang membawa kepada haram adalah haram. Lagipun, mencegah itu lebih baik daripada merawat."
Khazinatul Asrar cuba menjernihkan keadaan. Wajah Hijriah tetap serius dan masam mencuka.
"Rasulullah sendiri ada bersabda, cinta itu buta. Cinta tak mengenal sesiapa. Apa salahnya saya mencintai Tsabit?" Hijriah masih mengeraskan suaranya.
"Astargfirullahal azhim…saya tak bermaksud begitu. Ianya tak salah. Naluri cinta adalah fitrah setiap manusia. Saya sekadar memberi peringatan tentang batasan cinta. Ya cinta itu buta! Ingatlah cinta itu bukan sahaja tak mengenal sesiapa tapi tak mengenal batas haram dan halal juga. Dalam bercinta ni, liciknya strategi syaitan menipu pemikiran sepasang kekasih. Orang yang berjumpa kekasihnya memberi alasan… alah tak pegang-pegang pun. Orang yang pegang-pegang pula berkata… alah bukannya berzina pun. Orang yang berzina pula masih ada alasan…alah tak adalah sampai pregnant. Seolah-olah dia tak rasa bahawa apa yang dibuatnya tu salah.
Nau’zubillah min zalik. Di usia kita ni, cinta perlu dihijab dengan dengan iman dan khasyatillah, takutkan Allah. Allah jadikan cinta itu sebagai satu ujian. Bukan ke baru minggu lepas Ustaz Hasanul Basri ada menerangkannya dalam Kitab Silahul Ummah a’la Huda As-Sunnah. Terngiang-ngiang lagi di telinga saya ustaz bacakan satu ayat Allah,
Allah jadikan di antara lelaki dan perempuan ini fitnah ya’ni ujian atau kejahatan untuk Allah melihat sejauh mana kita bersabar dengannya dan kita kena ingat bahawa Allah itu Maha Melihat," hujah Khazinatul Asrar.
"Asrar, awak takkan faham kalau awak tak pernah bercinta. Saya sekarang dah dilamun cinta. Awak ingat nak lawan fitrah ni perkara senang ke? Susah tau!" Hijriah bertegas.
"Hijriah, benda yang susah nilah satu imtihan dari Allah untuk menguji tahap iman awak. Awak tak ingin ke berusaha mencapai keimanan tahap 4 plat ? ya’ni mencari kesempurnaan iman. Sabarlah dulu pada setiap ransangan nafsu. Perkara yang Allah haramkan ni sekejap jea, Cuma dalam tempoh belum bersedia nak kahwin ni jea… perkara yang halal dalam Islam lagi luas nanti. Didiklah sikit nafsu tu agar tak mengatasi akal. Dah tak lama pun untuk awak rasai cinta lelaki bernama suami. Penuh redha Ilahi. Sabarlah… tahan dulu rasa cinta tu untuk diluahkan pada waktu yang sepatutnya nanti. Tentu kemanisannya lebih terasa dan yang penting diiringi rahmat Allah S.W.T. Kudusnya mujahadah memelihara cinta di atas landasan-Nya.
Dr. Rosmawati dah pun menerangkan secara panjang lebar tentang indahnya cinta selepas kahwin ketika kita mengikuti Bengkel Mekar Setaman di UM dulu… masih ingat tak lagi?" jelas Khazinatul Asrar.
"Tapi, saya nak jadi isteri Tsabit! Nanti takut tak kesampaian…" luah Hijriah.
Khazinatul Asrar merenung lemah wajahnya. Lidahnya beristighfar lagi untuk kesekian kalinya.
"Apa yang cuba saya sampaikan nampaknya tak kesampaian. Awak masih kurang faham…" keluh Khazinatul Asrar berbaur hampa.
"Memang… memang saya tak faham dan saya tak mahu faham. Kehadiran awak sebenarnya untuk merampas sesiapa saja yang ingin saya cintai. Kau ni perampas!
Pencuri! Jangan cuba rampas Tsabit dari saya…." Hijriah bingkas bangun dari kerusi.
Buku nota berwarna biru itu dihempas kasar ke meja seolah-olah satu luahan kemarahan. Khazinatul Asrar terkejut dan tidak menyangka Hijriah sanggup sekasar itu dengannya. Khazinatul Asrar beristighfar panjang lagi.
Kenapakah tiba-tiba sahaja konflik tercetus. Dahsyatnya peranan syaitan meracuni kefahaman temannya.
Dia juga kesal dengan tuduhan tidak berasas terhadap dirinya sebagai perampas dan pencuri. Jiwanya tersentak.
Buku yang ditinggalkan di depannya itu dibelek-belek lembut. Fikirannya berserabut dan bercelaru. Dia menyalahkan dirinya sendiri yang mungkin terlalu lemah dalam menyampaikan hujahnya kepada Hijriah menyebabkan Hijriah mula tersalah tafsir.
"Mungkin methodku tidak kena.." bisik hatinya. Di samping itu, dia memperbanyakkan zikir untuk mencari ketenangan hati. Semakin direnung-renung buku itu, persoalan lain pula yang bertandang di mindanya. Tiba-tiba sahaja dia terfikir sesuatu.
"Warna yang sama!" bisik hatinya,. Tangannya terus mencapai nota biru yang masih terselit di dalam failnya. Dia cuba membanding-bandingkan warnanya. Ternyata sama sahaja. Lagipun Tsabit gemar memakai baju berwarna biru lembut ke dewan kuliah.
Mungkin warna kegemarannya. Hatinya mengesyaki sesuatu.
"Kalau Tsabitlah orang yang menggangguku dengan nota itu, apa yang dituntutnya?" fikirnya. Namun, dia tidak mahu menuduh sembarangan. Bimbang tersilap membuat perhitungan. Terngiang-ngiang pula di telinganya title ‘perampas’ dan ‘pencuri’ yang Hijriah tuturkan. Pencuri? What’s up? Apa yang aku curi? Apa sebenarnya ni?
Keresahan terhadap konflik yang tercetus antaranya dengan Hijriah dibebani pula dengan persoalan nota misteri. Hatinya bertasbih memuji kebesaran Ilahi yang Maha Mengetahui. Minta diberi kekuatan. Apakah situasi yang bakal dihadapinya nanti. Mungkin dia perlu mengalah dan meminta maaf daripada Hijriah. Lagipun, Hijriah mudah dipujuk dan marahnya tidak berlaratan. Hatinya lembut.
"…Ya Allah, kekalkan kemesraan antara hati-hati ini akan jalan-Mu yang sebenar…"
Doa Robithoh dijadikan penawar resah hatinya. Buku-bukunya yang berselerak mula dikemas. Keresahan yang bersarang tidak mengizinkannya untuk meneruskan revision. Langkahnya diatur pantas untuk segera tiba di biliknya, berjumpa Hijriah.
Di suatu simpang, dia bertembung dengan Intan Izma yang menyapa lembut. Gadis sebelah biliknya itu memang peramah. Suka mengambil berat masalah orang.
Sesuailah dengan statusnya memilih course Undang-undang. Semua masalah nak diselidikinya… bakal peguamlah katakan.
"Asrar, kenapa tak temankan Hijriah ke stesyen komuter. Katanya tadi nak balik Kajang." Intan Izma bersahaja gayanya. Khazinatul Asrar agak terkejut dengan berita itu.
"Hijriah balik? Intan tak tanya berapa hari dia nak balik?" garis-garis keresahan terjalur pada wajah tenang itu.
"Marahkah dia?" detik hatinya.
"Eh, macam mana teman sebiliknya boleh tanya saya pula, gaduh ya?" duga Intan Izma. Dia memang cekap menduga suasana.
"Gaduh? Tak adalah… tak sefahaman sedikit je. Insya-Allah, tak lama," jujur pengakuan Khazinatul Asrar. Dia tahu kalaupun dia berdalih Intan Izma pasti dapat menghidunya juga.
"Biasalah tu Asrar, asam garam persahabatan. Alah…jangan bimbang, dia balik sekejap jea tu. Kajang bukan jauh sangat. Nak berulang hari-hari pun tak jadi hal punya. Lagipun Hijriah tak ada bawa beg besar. Handbeg jea. Handbegnya tu membuktikan dia bukan bertujuan nak balik lama. Tapi itu bukanlah hujah yang konkrit sebab mungkin dia dah ada simpanan baju kat rumah. So, buat apa nak bawa beg besar-besar, kan?!" Intan Izma rancak berceloteh. Sepatah ditanya, serangkap perenggan dibalasnya. Bagaikan berada di mahkamah pula.

"Tak apalah Intan. Terima kasih kerana beritahu saya hal nie. Hah, Intan nak ke mana pulak ni?" Khazinatul Asrar cuba meringkaskan pertemuan. Dia dah cukup faham kalau dilayannya lawyer sorang ni, 24 jam pun tak cukup.
"Saya nak ke kamsis Dato’ Onn. Jumpa Chee Wah. Nak Tanya dia pasal handset dia yang tercicir tu samada dah jumpa atau belum. Dia tu pelupa. Dia cakap tercicir tapi ada kebarangkalian handsetnya tu dicuri berdasarkan fakta yang diberi. Lagipun kes kecurian handset bukanlah benda asing lagi kat sini. Chee Wah ni kena siasat betul- betul sepatutnya. Tak mustahil roommate dia sendiri yang mencuri. Bukan semua roomate boleh dipercayai. Ni saya nak cuba selidik kes dia ni… tak boleh biarkan
Chee Wah ni settlekannya sendiri," jelasnya panjang lebar. Selepas itu, mereka membawa haluan masing-masing.
Setibanya di bilik, Khazinatul Asrar mendapati ada sekeping nota berwarna biru lembut di atas katilnya.
##Asrar, saya minta maaf atas apa yang berlaku. Izinkan saya balik ke Kajang untuk menenangkan fikiran. Saya berasa malu atas perlakuan saya tadi. Beberapa hari lagi saya akan kembali. Maafkan saya…## ...BERSAMBUNG...

No comments:

Post a Comment

famous+gorgeous!

gorgeous♥